Khamis, 25 Disember 2008

KRISMAS YANG BERMAKNA

Tepat jam 7.00 pm tadi, selesai kunjungan kumpulan kuaya PCS Pekan Pitas di semua wad di hospital Pitas. Ini kali kedua kami melawat hospital, menyanyikan lagu natal dan menyampaikan hadiah kepada pesakit dan staf. Program ini menjadi penutup tirai kepada Karnival Krismas kami sejak 19 Disember. Semalam Pdt Justin Biral menjadi pengkotbah dalam kebaktian mini konsert kami yg diisi dgn aktiviti seperti tayangan filem, pertunjukan puppet, sajak, kesaksian peribadi (seorang yg percaya Kristus melalui mimpi dan sekarang menjadi AJK kami) dan aktiviti lain.

Pagi tadi saya menyampaikan kotbah Krismas dengan memetik Firman dari Galatia 4:4-6 dan Lukas 4:18-22. Kelahiran Yesus adalah penggenapan dari pada rencana Allah yg sempurna, sistematik dan bermatlamat. Dari kata dasar "pleroma" dan "choronos" jelas menunjukkan bahawa kelahiran Kristus dirancang dengan teliti untuk tujuan yg jelas. Ketika Yesus pertama kali berdiri di mimbar, DIA membacakan teks Yesaya 61:1-2 dan kemudian berkata bahawa firman itu telah digenapi. Penggenapan yg Allah mahu laksanakan adalah bersifat universal dan khusus kepada setiap jiwa gara dapat berseru "Ya Abba, Ya Bapa"...supaya setiap yg percaya adalah peribadi yg berkemenangan. Percayalah bahawa menjadi peribadi yg berkemenangan memimpin kita menghargai dan menghayati Krismas dengan sejujurnya.

Di akhir dari karnival kami...saya dapat menyimpulkan atau berkongsi kesyukuran kepada rakan seiman semua, iaitu :
  • Pelayanan kuaya yg selama ini telah menjadi tradisi harus diperbaharui. Melalui pelayanan ini kami telah dapat menjangkau jiwa baru.

  • Krismas adalah ruang dan "alasan" yg paling jitu utk menyatakan khabar baik kepada mereka yang belum pernah mendengar Kristus.

  • Sebaiknya aktiviti kerja amal yg berunsur kebajikan diselitkan dalam program Krismas.

  • Kanak-kanak harus diajar dengan "Serius" tentang makna Krismas yg sebenar barulah kita dedahkan mereka dengan hadiah, santa clausm, dsb.

  • Adalah kurang sihat kalau gereja terlalu meminta/mencari duit "di luar" hanya utk dana sukaneka, pertandingan, dll. Seolah-olah telah menjadi tradisi bahawa Krismas adalah musim meminta derma.

  • Libatkan jemaat dlm merancang program Krismas. Buat kajiselidik umum sejauhmana mereka senang dengan pengisian program.

Saya tidak katakan bahawa program Krismas kami adalah terbaik. Kami melakukan dengan cukup sederhana tapi ada tujuan. Pastinya di tempat anda..jauh lebih baik dan meriah. Namun saya mendorong anda untuk menyelidiki semula supaya Krismas benar-benar dinikmati bukan saja oleh jemaat sendiri, Kristian lain tetapi bahkan mereka yg "hilang". Jangan sampai kita dilabel "kedekut"...tidak mahu berkongsi sukacita kepada sasaran sebenar.

Sabtu, 20 Disember 2008

KASIH TIDAK PERNAH GAGAL

Hari ini seperti yg telah dijadualkan dlm Karnival Krismas PCS Pekan Pitas, kami telah mengunjungi sebuah keluarga yg belum percaya Kristus (pagan) dan agak daif. Semalam kami juga melawat mereka melalui aktiviti caroling sambil membawa hamper sbg hadiah krismas. Hari ini bersama gembala, cikgu Lumbihan dan Puan Lucy, kami membawa sebuah tangki 100 gelen, beberapa helai pakaian dan makanan ringan. Lokasi tidaklah perlu saya beritahu atas sebab-sebab tertentu. Saya sangat terdorong dengan keterbukaan mereka menerima kunjungan kami dan kami sempat berkongsi tentang KRISTIAN kemudian mendoakan mereka. Di kampung tersebut majoriti penduduk adalah beragama bukan Kristian dan hanya ada 2 keluarga yg pagan termasuk mereka. Hati saya meronta-ronta untuk penyelamatan mereka. Selain itu, saya sangat sedih kerana kehidupan mereka memang agak susah. Belum ada bekalan air bersih dan elektrik. Tiang elektrik dan pendawaian dalaman sudah selesai tetapi mereka tidak mampu membeli meter elektrik. Mereka sekarang tinggal di rumah yg sangat uzur dan menunggu masa untuk runtuh. Mereka sedang membina sebuah rumah tetapi tergendala kerana suami yg uzur dan mereka tidak ada wang membeli atap zink.
Sekarang adalah musim Krismas...musim di mana warga gereja bergembira tetapi kami di PCS Pekan Pitas sudah 2 tahun kami lakukan sambutan yg sederhana dan kami menumpukan kepada program penginjilan. Ya...kita gembira dengan kelahiran Juruselamat tetapi bagaimana dengan mereka yg belum ada keselamatan. Saya yakin bahawa Kasih tidak pernah gagal untuk menyatakan karya keselamatan Kristus. Ada dua perkara yg saya perhatikan sangat mendesak dibantu untuk keluarga ini. (1) Membeli atap zink : anggaran harga RM500.00 (2) Membeli meter elektrik : anggaran RM350.00. Sekiranya saat ini anda merasakan beban untuk keluarga ini, anda boleh melakukan dua hal : (1) Doakan penginjilan susulan kami pada 24 Disember (kami akan membawa mereka menghadiri Kebaktian Natal di Gereja) (2) Bantuan kewangan utk dua keperluan di atas.

" KASIH TIDAK PERNAH GAGAL "

Ahad, 14 Disember 2008

PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN DI PCS

Dalam EXCO saya bersama Pdt.Christopher dipertanggungjawabkan dalam bidang R & D yang meliputi unit Theologi, Biasiswa, Sumber Manusia, Muzik, Pusat Pembangunan Wanita (di Tinangol), Pembangunan Web Site dan Penterjemahan. Sekarang ini unit R & D sedang bertungkus lumus menyiapkan analisa data kajian bancian & persepsi umum PCS. Sebagai makluman, kajian ini telah berlangsung 2 bulan lamanya di seluruh PCS. Sepatutnya team kami sudah selesai tetapi 'kecuaian dan sikap sambil lewa' sebahagian jemaat/parokhi yang lambat bertindak menyebabkan kelewatan dan jangkaan masa kami tersasar beberapa minggu. Apa pun setakat ini 70% sudah selesai dan menampakkan potensi yang sihat di mana sekali imbas saya perhatikan majoriti jemaat rindukan pembaharuan. Saya akan paparkan secara rasmi dalam blog ini apabila keputusan rasmi kajian ini telah disahkan oleh EXCO. Kesempatan ini saya merakamkan rasa bangga dan terima kasih kepada team R & D PCS yang bertungkus lumus dan mengorbankan segalanya demi Tuhan dan PCS. Juga kepada YB Max yang sudi meminjamkan ruang rumahnya untuk team saya berkampung menjalankan analisa.

Sabtu, 13 Disember 2008

MEMPERSIAPKAN ANAK PANAH

Firman Tuhan dalam Mazmur 127:4-5 mengumpamakan anak-anak muda sebagai anak panah dan ditambah bahawa berbahagialah mereka yang mana tabung mereka penuh dengan anak panah. Saya telah berkongsi firman ini semasa seminar guru-guru Kristian di Ranau 8 Disember yang lalu. Saya yakin bahawa bercakap tentang pelayanan pelajar bererti kita bercakap tentang masa depan. Selagi kita memperhatikan pelajar bererti kita masih ada masa depan. Saya telah mendorong semua guru dan pemimpin gereja yang hadir agar memberi fokus kepada pelayanan pelajar. Gunakan model yang Yesus kerap gunakan iaitu "kem dan retret" kerana pengalaman saya selama 15 tahun dalam PGKS..pendekatan ini sangat berkesan mendekati pelajar. Sempena seminar ini juga saya bersyukur kerana menemui Ps.Alfred Tais (SU Eksekutif NECF). Selama ini kami hanya berbual melalui telefon. Kotbah dan maklumat beliau sangat membangun dan mencabar saya agar sentiasa meningkatkan pengetahuan dengan situasi nasional yang tidak didedahkan oleh media massa. Tahniah kepada PGKS Ranau dan Interchurch Ranau yang menganjurkan seminar ini.
P/S : Anak panah memerlukan Perekabentuk yang setia dan Pemanah yang cekap !
Pada 11 Disember pula saya dijemput oleh gereja PCS Kg.Adong, Tinangol untuk berkongsi firman berkaitan kepimpinan belia. Saya berasa bangga dengan jemaat ini kerana walaupun bilangan anggota yang sedikit dan gereja yang kecil tetapi semangat mereka membara untuk meningkatkan kualiti pelayanan. Saya bersama Pdt.Marunsai bersama mereka sehingga lewat petang dan mereka memberikan layanan yang sangat istimewa.Saya berkongsi kepada mereka bagaimana menjadi pemimpin belia yang berwibawa dan berpengaruh. Selari dengan firman Tuhan dalam 1 Raja-Raja 12:7 dan 1 Petrus 5:3 saya menggariskan beberapa tips yang saya sesuaikan dengan sedikit pengalaman saya. Antaranya : bahawa kepimpinan adalah pengaruh, justeru adakah kita selalu berjaya mempengaruhi seseorang? Pengaruh yang kekal dan tulen berdasarkan integriti. Kekalkan hubungan dengan Tuhan dan Tuhan akan menolong membina kekuatan dalaman yang membentuk karakter dan integriti diri yang kuat. Karakter dan integriti ini adalah ukuran dasar yang sentiasa diperhatikan orang. Pembinaan karakter dan integriti adalah proses tetapi boleh hancur sekelip mata apabila mulai tidak hormat dan takut kepada Tuhan. Akhirnya saya berkongsi prinsip 3P (pemikir, perancang dan pelaksana) yang menjadi legasi kepimpinan Nehemia sehingga beliau berjaya mempengaruhi dan memimpin umat Israel membina kembali tembok Yerusalem. Pemimpin yang berjaya mesti memiliki aset 3P.
P/S : Pemimpin sejati tidak akan pernah "diam"

Selasa, 2 Disember 2008

DIA AJAIB

Firman Tuhan berkata bahawa DIA ALLAH kita sentiasa bertindak dalam keadaan yang tidak pernah terfikir oleh fikiran manusia (maaf..saya tidak sempat mencari teks ini). Sejak saya dipanggil di ladang Tuhan..saya telah menyaksikan keajaiban pekerjaanNya. Terkini berlaku semasa trip misi jelajah semenanjung oleh PCS Pekan Pitas 19-27 November lalu. Peserta seramai 16 orang membayar RM500 (tiket pergi balik) dan RM500 untuk kos makan, bas, teksi, pas masuk dan ucap syukur. Di lihat dari segi mata kasar..kos RM500 ini tidak mencukupi untuk perjalanan selama 9 hari, bermula dari Johor dan berakhir di Penang. Kami melawat Johor Bahru, Melaka (PCS Melaka), PCS Seremban, Shah Alam/KL (3 malam), Ipoh, Penang, Langkawi. Namun Tuhan bekerja dengan cara yang ajaib dengan menyediakan beberapa peribadi yang sudi menolong kami menyediakan pengangkutan dan penginapan dengan percuma. Penginapan dan pengangkutan di Shah Alam (3 malam), penginapan di Penang (3 malam) Tuhan sediakan dengan PERCUMA. Justeru kami dapat menjimatkan kos hampir RM2000 sehingga kami mampu memberikan ucapan syukur RM200 di PCS Melaka, RM150 untuk gembala PCS Shah Alam, membeli keyboard dan peralatan muzik/rebaba/p.a system untuk gereja.
Sebenarnya kami telah lama berdoa untuk mendapatkan sebuah keyboard baru gereja dan kami tidak pernah menyangka bahawa Tuhan menolong kami dengan cara begini. Semua peserta dengan hati terbuka bersetuju dengan semua pembelian ini dan memperlihatkan kepuasan dapat memberikan 'ole-ole' untuk jemaat terlebih memberi untuk Tuhan. Secara terbuka saya katakan di sini bahawa ada di kalangan peserta yang bukan mampu sangat dan ada juga yang belum terbuka sangat dalam hal memberi. Ringkasnya untuk mendapatkan wang mereka sebagai derma bukan mudah. Namun melalui trip ini, Tuhan bekerja dalam hati mereka untuk menyumbang untuk Tuhan.
Puji Tuhan dengan segala kebaikan dan keajaiban pekerjaanNya. Sesungguhnnya karnival Krismas kami tahun ini pasti bertambah ceria dengan penambahan peralatan muzik, rebana, mikrofon dan lain-lain. DIA AJAIB...KARYANYA BARU SETIAP HARI !