Sabtu, 31 Januari 2009

MASA DEPAN BANGUNAN GEREJA

Kalau kita meneliti di Malaysia, setiap bandar mempunyai gereja-gereja yang besar. Kota Kinabalu, Kuching, JB, Seremban, Melaka, KL, Selangor, Ipoh, Georgetown, Kota Bharu dan banyak lagi, kita dpt melihat bangunan-bangunan gereja yang besar wujud dan didirikan di tapak 'prime land' yang besar, kadangkala betul-betul di tengah-tengah bandar..denyut nadi bandar tersebut. Panorama ini bukanlah menghairankan kerana ternyata sekali pihak British meninggalkan satu legasi yang sangat bermakna kepada umat Kristian di Malaysia iaitu tapak tanah yang besar dan strategik untuk gereja. Mari kita tinggalkan legasi ini dan kembali kepada situasi sekarang. Gereja-gereja pada masa kini bukannya mudah mendapatkan tapak untuk pembinaan gereja. Bahkan dalam semua pelan perancang bandar dan desa amat mustahil untuk kita dapat melihat di mana tapak untuk gereja telah disediakan. Justeru ke mana umat Kristian beribadah? Mutakhir ini kita melihat bahawa gereja telah mengambil pendekatan dengan membeli/menyewa ruang rumah kedai untuk dijadikan ruang ibadah. Bagi yang berkemampuan mereka membeli sehingga satu bangunan kedai dan diubahsuai menjadi gereja. Walaupun pendekatan seperti ini menyebabkan ruang persekutuan di kalangan jemaat agak terbatas namun setakat ini, inilah kaedah dan penyelesaian terbaik ekoran masalah tapak yang dihadapi oleh gereja..buat masa ini.
Namun perkembangan terkini amat merisaukan. Mengikut makluman dari NECF, kerajaan dalam rangka untuk 'membatasi' penggunaan kedai-kedai sebagai gereja. Apakah "membatasi" ini bermaksud penggubalan akta melalui kerajaan tempatan untuk melarang kedai-kedai daripada dijadikan gereja? Kalau kerajaan bertegas dlm hal ini pastilah ada ruang untuk mempertimbangkan permohonan gereja untuk mendapatkan tanah sebagai tapak gereja. Baru-baru dalam kajian R & D kami dalam gereja PCS dalam soal status dan kepemilikan tapak gereja adalah seperti berikut :

  • 21 buah gereja PCS didirikan di atas geran individu
  • 3 buah gereja PCS didirikan di atas RSP individu
  • 18 buah gereja PCS didirikan di atas LA individu
  • 28 buah gereja PCS belum dipohon tapaknya
  • Terdapat 6 perkumpulan jemaar (belum ada gedung gereja)

Keputusan ini memperlihatkan 70 buah bangunan gereja PCS dalam keadaan "berisiko" dan mungkin juga situasi yang sama dihadapi oleh gereja lain. Justeru semua pemimpin gereja haruslah melihat isu dan situasi ini dengan teliti dan serius. Selagi ada ruang, gereja harus mengusahakan permohonan tapak gereja agar tidak berhadapan dengan batasan-batasan yang bakal dikenakan terhadap ibadah/gereja di dalam bangunan kedai.

P/S : Atas kapasiti sbg pengerusi gereja, kami pernah memohon tapak gereja tetapi LUC daerah menolak. Kami merayu sampai di peringkat ketua menteri tetapi tetap ditolak. YB dan DO pada masa itu juga memberikan sambutan yang sangat dingin dengan permohonan dan rayuan kami. Ibarat mentimun dengan durian. Apa pun kalau Allah di pihak kita..kemenangan tetap menjadi milik umat yang beriman

Khamis, 22 Januari 2009

Analisis Isu Perkataan "ALLAH"

Saya sudah mengulas isu ini dalam blog saya GerbangPitas pada tahun lalu.Pada dasarnya isu ini sudah lama di negara kita dan hanya "dihangatkan" kembali oleh kerajaan dan menjadi lebih panas apabila kerajaan bertindak menguatkuasakan larangan ini. Sehubungan dengan larangan ini, 3 kes telah difailkan di mahkamah secara berasingan iaitu (1) SIB bersama NECF (2) Majalah Herald (Katolik) dan (3) Seorang Individu Kristian. Kes ketiga-tiga pihak yang berasingan ini masih sedang berlangsung dan salah satu daripada itu telah ditangguhkan sebanyak 11 kali (mungkin dengan tujuan memberi tekanan emosi dan kewangan kepada pihak plantaif) namun semangat mereka tidak kendur. Difahamkan semakin ditekan mereka semakin bersemangat walaupun sumber dana yang kritikal. Disebalik itu juga kebanyakan pemimpin politik yang beragama Kristian (yang mengaku percaya Yesus !) tidak mempedulikan kes ini Hanya ada 1-2 orang yang "mungkin" memberikan sokongan moral dan tidak lebih dari itu.
Hari ini akhbar utusan "meloya" memetik kata-kata datuk syed hamid yang berkata bahawa Majalah Herald mencabar undang-undang kerana masih menggunakan perkataan Allah dalam terbitan mereka yang terbaru. Kenyataan ini membingungkan saya kerana sedangkan kes ini masih di peringkat mahkamah. Kes ini dibawa ke mahkamah untuk "mendapatkan keadilan" yang sinonim dengan maksud "mendaulatkan undang-undang". Kalau diandaikan mahkamah bakal membuat keputusan yang berpihak kepada kerajaan dan Herald masih menggunakan perkataan Allah barulah dianggap mencabar undang-undang.
Saya tertanya-tanya adakah kerajaan yang majoriti penduduk beragama Islam bahkan yang memang negara Islam juga mengenakan undang-undang yang sama.Sepanjang ingatan saya Indonesia dan beberapa negara Islam di Timur Tengah tidak mengenakan sekatan terhadap penggunaan perkataan Allah. Catatan akademik juga memberitahu kepada kita bahawa perkataan Allah sudah digunakan oleh umat Kristian sejak berkurun lamanya khususnya Kristian di Timur Tengah. Justeru agak menghairankan tindakan kerajaan ini.Apatah lagi kalau tindakan ini dilihat bermusim.
Saya berdoa kerajaan Malaysia terus dipimpin oleh Roh Kudus untuk mentadbir negara ini dengan adil, telus dan tanpa prejudis kepada semua lapisan masyarakat. Gereja juga telah menyumbang kepada kemerdekaan, pembangunan, kemakmuran dan perpaduan yang kita nikmati sekarang. Bahkan tulisan saya yang lalu tentang Mission School mengetengahkan pandangan saya bahawa Malaysia Moden lahir dari Mission School yang dipelopori oleh gereja. Maksud pernyataan ini ialah..kebanyakan/majoriti pemimpin, pentadbir, golongan cerdik pandai, ahli profesional...siapa juga yang berperanan melahirkan Malaysia Moden adalah hasil didikan dari Mission School.

Jumaat, 16 Januari 2009

PITAS DILANDA HUJAN RAHMAT

Puji Tuhan talian telefon pulih semula dan blog ini dapat dikemaskini. Hanya pada hari ini sedikit cahaya matahari muncul di Pitas walaupun 'masih malu-malu'. Namun masih ratusan orang yang sedang mendiami beberapa pusat penempatan banjir. Saya belum berkesempatan melawat gereja kerana laluan masih dalam. Pelajar yang kami tempatkan di sana melaporkan bahawa air masuk ke bilik bawah rumah gereja setinggi 2 kaki. Pastilah semua rak buku dan tv telah rosak dan ini merupakan musibah terhadap aset-aset gereja. Seungguhnya gelombang kedua ini agak teruk kesannya. Ahad ini belum ada kepastian adakah kami boleh menjalankan ibadah mingguan. Saat ini hati saya selalu berkata "cukuplah hujan tu Tuhan" dengan nada mengharap tetapi bukan bermaksud desakan.
Firman Tuhan menulis bahawa hujan itu ditetapkan oleh Allah (Ayub 28:26), Allah menyediakan sesuai kehendakNya (Mazmur 147:8). Hujan yang Allah berikan menyatakan kebajikanNya kepada dunia ini (Kisah P.Rasul 14:17) dan dengan hujan Allah mahu menyatakan tentang kekuasaan dan kebesaranNya (Ayub 36:26-28). Justeru firman Allah mengajar umat Allah agar memuji dan menyatakan syukur kerana Allah menyediakan hujan (Mazmur 147:7-8). Satu hal lagi yang perlu kita renung di sebalik hujan ini, tujuan Allah ialah Dia mahu mengairi semula mana-mana mata air yang wujud (Mazmur 104:8).
Walaupun perit..saya percaya kalau saya diberi pilihan saya memilih hujan berbanding kemarau. Lagipun Firman menanalogi bahawa hujan dikaitkan dengan rahmat dan lebih dalam lagi menyatakan berkat-berkat rohani dan tanda keadilan Tuhan (Mazmur 68:10, Hosea 10:12). Manakala kemarau pula selalu menggambarkan tentang hukuman atas dosa (Ulangan 11:17).
Justeru dalam keadaan yang tersepit inilah anak-anak Tuhan dapat menyaksikan karakter mereka dari segi sukacita, iman dan pengharapan di tengah-tengah badai hujan. Saya berdoa kepada Tuhan agar hujan tanpa henti selama 6 hari yang menyebabkan gelombang banjir yang besar melanda Pitas adalah pernyataan gelombang Roh Allah yang bakal melanda Pitas pada 28-30 Ogos 2009 di mana kami akan anjurkan Kebaktian Kebangunan Rohani bersama hamba Tuhan dari Indonesia. Kita menanti-nanti....Amin !

Ahad, 4 Januari 2009

KAMI PERLU PASTOR

Hari ini merupakan hari terakhir pelayanan secara rasmi gembala kami di PCS Pekan Pitas iaitu Pastor Jeliron kerana beliau melanjutkan pembelajaran dalam bidang theologi peringkat sarjana muda di Seminari Theologi Sabah (STS). Puji Tuhan kerana beliau antara 3 orang pelayan dari PCS yang mendapat biasiswa dari Mission 21. Panggilan kepada beliau agak mengejut dan ditambah dengan kesibukan sedia ada menyebabkan kami tidak sempat mengadakan majlis perpisahan. Walau bagaimanapun kami merancang untuk mengadakan sambutan rasmi pada hujung bulan ini sempena cuti tahun baru Cina. Pastor Jeliron sebenarnya bekas murid saya secara sekular dan boleh juga dikatakan 'anak rohani' kerana semasa pelajar, dia tinggal di kawasan yang sama dengan rumah sewa saya.Di samping terlibat dalam Students Fellowship di SMK Pitas, kami juga sering membawa dia dalam beberapa program pelayanan dan semasa itu memang saya sudah melihat potensi yang Tuhan bakal percayakan kepadanya. Selepas SPM dia bekerja di sektor swasta, kemudian belajar di Pusat Latihan Alkitab, Kudat dan selepas tamat dia melayani sebagai gembala PCS di Melaka.
Selepas beberapa tahun membantu pelayanan di Semenanjung, kami menawarkan pelayanan sebagai gembala kepada beliau. "Sayangnya" baru setahun bersama PCS Pekan Pitas, Tuhan percayakan kepadanya pengajian di peringkat degree theologi. Setahun bersama kami, beliau telah menunjukkan cinta kasih kepada Tuhan, kerendahan hati, kesetiaan dalam segala hal dan peringkat. Pihak majlis gereja yg merancang program dan beliau terlibat sama memberikan idea dan menjayakan program. Secara keseluruhan jemaat dapat menerimanya.
Kini PCS Pekan Pitas ketiadaan pastor. Sebenarnya dari segi tenaga pelayan di "mimbar" kami tidak juga kekurangan namun oleh kerana semua pelayan adalah kakitangan awam/swasta, banyak hal yang kami tidak dapat jangkau. Misalnya, penginjilan berterusan, pembelajaran dan lawatan keluarga, pengurusan logistik, kenderaan, persiapan gereja, dll. Terlebih dengan tiadanya pastor, rumah gereja dan gereja terdedah dengan sebarang musibah. Justeru, sesungguhnya kami SANGAT MEMERLUKAN SEORANG PASTOR. Tolong kami dalam doa dan dari segi penyampaian iklan/maklumat untuk mencari seseorang. Kepada yang berkenaan, bolehlah menghubungi saya di talian 088-623124, 019-8325591. Buat masa ini kami akan meneruskan janji iman sedia untuk khusus untuk elaun pastor. Kami yakin dan beriman bahawa Allah akan bertindak menolong kami demi keterusan pembangunan, penatalayanan dan pelayanan yang mapan dan berterusan Rumah Allah, iaitu PCS Pekan Pitas.

Khamis, 1 Januari 2009

IMBASAN PELAYANAN 2008

Selamat tahun baru 2009..Puji Tuhan saya masih hidup..bernafas dan diberi kekuatan dalam peranan yang sangat kecil menyatakan khabar baik dan kasih dari Surga utk semua bangsa di muka bumi. Tahun 2008 telah berlalu dan dalam era persiapan 'strategik' pelayanan 2009 khususnya dua organisasi yg saya ketuai secara langsung...saya terbeban berkongsi kasih dan pimpinan Tuhan dalam pelayanan saya sepanjang tahun 2008.
  • Bagi pelayanan PGKS..hanya 2 program utama yang dapat dilaksana iaitu Kem Tunas Misi dan Kem Sahabat namun saya sangat mengimani hasilnya di hadapan Tuhan. Dari segi pelayanan strategik saya bersyukur kerana Tuhan melakukan 3 hal yang besar iaitu (1) 'membuka' hati Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk membiayai Kursus Penataran subjek Bible Knowledge seluruh Sabah. Ini merupakan mukjizat dan hadiah besar dari surgawi setelah berpuluh tahun PGKS dan semua gereja berdoa. Dijangka mulai pada tahun ini jumlah calon yang mengambil subjek ini akan melonjak ke angka ribuan orang. (2) Pembukaan Joy Centre di Pitas, selaku daerah perintis utk projek ini di peringkat negeri. Projek ini melalui sumbangan SU diharap menjadi pemangkin kepada penanaman benih firman di peringkat sekolah menengah secara tersusun dan berkualiti. (3) Pengambilalihan Asrama PCS di Sikuati membawa PGKS memasuki satu lagi dimensi pelayanan yang baru yang diharap bakal menjadi "Bantaran Joy Centre" yang ke-2 di Sabah dan kefungsian dan matlamat yang menyerupai Joy Centre.
  • PCS Pekan Pitas terus dipelihara Tuhan dalam semua aspek. Dari segi penatalayanan, semuanya berjalan dengan indah. Sepanjang 2008, sebanyak 5 rombongan telah melawat PCS Pekan..datang untuk bersekutu dan belajar 'sesuatu'. Buat pertama kali, kami dpt mengadakan KKR selama 2 malam. Program 'pastor pelawat' juga ternyata membawa impak yang baik. Prestasi jemaat dalam hal memberi juga meningkat di samping prestasi pengurusan kewangan. Ternyata ada bezanya apabila pada tahun 2008 kami mendapat gembala sepenuh masa..banyak membantu kejayaan pelayanan.Dari segi penuaian jiwa, secara prinsipnya ada 6 jiwa baru yang dijangkau melalui penginjilan langsung.
  • Tuhan mempercayakan kepada saya menjadi EXCO PCS period 2008-2012. Banyak memori saya dalam pertumbuhan iman peribadi dan pelayanan umum dalam PCS yg menjadikan saya masih tertanya-tanya dengan perlantikan mereka. Namun saya yakin dengan 'masa' dari Tuhan. Setakat ini saya bersyukur dengan peranan yg saya mampu lakukan dalam EXCO, khususnya dalam bidang R & D dan sekolah mission. Masih banyak yang perlu dan mendesak di lakukan dalam PCS.
  • Bersyukur kerana tahun 2008, Tuhan membawa saya untuk bersemuka dengan Ps.Alfred Tais, SU Eksekutif NECF yang membolehkan saya bertukar maklumat dan program yang penting bersama beliau.
  • Tuhan memimpin saya melayani di beberapa tempat yang baru/pertama kali seperti di Shah Alam, Maringgan, Petani Baru, Tinangol, Nabawan, dll. Banyak perkara baru/besar yang Tuhan lakukan melalui pelayanan ini dan semuanya kerana anugerahNya.

Dengan beban yang semakin mendalam..banyak hal yang perlu atau segera dilakukan menjelang tahun 2009. Saya kurang bersedia berkongsi di sini kerana saya lebih senang membiarkan visi, misi dan beban hati saya diproses oleh Allah dan menunggu apakah jenis bahagian/tugas yg Allah mahu saya laksanakan. Kerana saya tahu bahawa Allah lah yang memainkan peranan besar melaksanakan semua itu..justeru saya berani katakan disini bahawa saya 'tiada autoriti' utk mengumumkan visi yg dari Allah. Ayat emas saya tahun 2009 ialah Nehemia 2:11-12. Allah telah berikan/letakkan sesuatu 'Yerusalem' dalam hati saya yg perlu saya lakukan untuk tahun 2009.