Jumaat, 16 Januari 2009

PITAS DILANDA HUJAN RAHMAT

Puji Tuhan talian telefon pulih semula dan blog ini dapat dikemaskini. Hanya pada hari ini sedikit cahaya matahari muncul di Pitas walaupun 'masih malu-malu'. Namun masih ratusan orang yang sedang mendiami beberapa pusat penempatan banjir. Saya belum berkesempatan melawat gereja kerana laluan masih dalam. Pelajar yang kami tempatkan di sana melaporkan bahawa air masuk ke bilik bawah rumah gereja setinggi 2 kaki. Pastilah semua rak buku dan tv telah rosak dan ini merupakan musibah terhadap aset-aset gereja. Seungguhnya gelombang kedua ini agak teruk kesannya. Ahad ini belum ada kepastian adakah kami boleh menjalankan ibadah mingguan. Saat ini hati saya selalu berkata "cukuplah hujan tu Tuhan" dengan nada mengharap tetapi bukan bermaksud desakan.
Firman Tuhan menulis bahawa hujan itu ditetapkan oleh Allah (Ayub 28:26), Allah menyediakan sesuai kehendakNya (Mazmur 147:8). Hujan yang Allah berikan menyatakan kebajikanNya kepada dunia ini (Kisah P.Rasul 14:17) dan dengan hujan Allah mahu menyatakan tentang kekuasaan dan kebesaranNya (Ayub 36:26-28). Justeru firman Allah mengajar umat Allah agar memuji dan menyatakan syukur kerana Allah menyediakan hujan (Mazmur 147:7-8). Satu hal lagi yang perlu kita renung di sebalik hujan ini, tujuan Allah ialah Dia mahu mengairi semula mana-mana mata air yang wujud (Mazmur 104:8).
Walaupun perit..saya percaya kalau saya diberi pilihan saya memilih hujan berbanding kemarau. Lagipun Firman menanalogi bahawa hujan dikaitkan dengan rahmat dan lebih dalam lagi menyatakan berkat-berkat rohani dan tanda keadilan Tuhan (Mazmur 68:10, Hosea 10:12). Manakala kemarau pula selalu menggambarkan tentang hukuman atas dosa (Ulangan 11:17).
Justeru dalam keadaan yang tersepit inilah anak-anak Tuhan dapat menyaksikan karakter mereka dari segi sukacita, iman dan pengharapan di tengah-tengah badai hujan. Saya berdoa kepada Tuhan agar hujan tanpa henti selama 6 hari yang menyebabkan gelombang banjir yang besar melanda Pitas adalah pernyataan gelombang Roh Allah yang bakal melanda Pitas pada 28-30 Ogos 2009 di mana kami akan anjurkan Kebaktian Kebangunan Rohani bersama hamba Tuhan dari Indonesia. Kita menanti-nanti....Amin !

Tiada ulasan: